Wednesday, September 1, 2010

* Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan

Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan

Dan ingatilah Firman Allah dalam surah Ibrahim 14.7. “dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".

Ikhwanul Muslimin, pada hari Jumaat di bulan Ramadhan yang diberkati ini, saya berpesan pada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita sama-sama meningkatkan takwa kita kepada Allah swt dengan ketakwaan yang sebenar-benarnya.

Dikesempatan kita memperingati kemerdekaan negara kali ini, khutbah ini ingin mengajak para-jemaah mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar nikmat ini akan berkekalan dengan pengisian-pengisian yang diredhai oleh Allah swt.

Sebenarnya, inilah juga matlamat dan intipati berpuasa dan Ramadhan, iaitu untuk melahirkan manusia yang tahu bersyukur kepada Allah swt.

Imam Al-Ghazali mengariskan bahawa bagi mensyukuri nikmat Allah swt itu perlu ada tiga perkara berikut:

1. Hendaklah mengiktiraf bahawa nikmat itu datangnya dari Allah swt, walaupun pada zahirnya ia datang melalui berbagai perkara dan sumber.

2. Hendaklah ia tidak mengsia-siakan nikmat tersebut dengan mengabaikannya.

3. Hendaklah ia menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang diredhai oleh Allah swt.

Ikhwanul Muslimin,

Sekiranya kita meninggalkan salah-satu daripada tiga syarat bersyukur yang telah diterangkan oleh Imam Ghazali seperti diatas, maka kita akan menjadi orang yang kufur terhadap nikmat Allah swt dan akibatnya Allah swt akan menggurangkan atau mengambil balik nikmat yang telah dikurniakannya kepada kita. Itulah juga yang telah disebutkan oleh Allah swt dalam firmannya dalam ayat diatas, azab yang dashyat.

Oleh itu sekiranya kita kufur dengan nikmat kemerdekaan, maka Allah swt akan menarik semula erti kebebasan dan keamanan. Akibatnya kehormatan negara akan dihina, nyawa kita akan terancam, akal kita akan dipermain-mainkan, maruah dan kehormatan diri serta keturunan akan tercemar, seterusnya harta akan diceroboh dengan sewenang-wenangnya seperti apa yang telah berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin, Iraq, Afghanistan dan Somalia dan sebagainya.

Ikhwanul Muslimin,

Sekiranya kita ingin mengekalkan kemerdekaan, maka hendaklah kita mengisikan kemerdekaan yang kita kecapi dengan program-program yang di redhai oleh Allah swt selaras dengan yang konsep syukur sepertimana yang telah diterangkan oleh Imam Ghazali tadi.

Persoalannya, adakah kita telah mentakbir dan menguruskan diri kita dengan ketaatan kepada Allah swt?

Adakah kita mentakbir dan menguruskan keluarga kita dengan kefahaman agama yang syumul?

Kita perlu meneliti dan meningkatkan hubungan diri kita dengan Allah swt dengan melakukan muhasabah dan seterusnya kembali kepada jalan yang diredhai Allah swt.

Ikhwanul Muslimin,

Ketahuilah bahawasanya musuh-musuh Islam, memang sentiasa merancang dan mengaturkan serangan-serangan, samaada ia berbentuk serangan pemikiran atau serangan berbentuk fisikal demi untuk merampas kemerdekaan yang kita kecapi. Namun, persoalannya, adakah kita mempunyai pertahanan yang ampuh dan kuat dalam menghadapi segala cabaran itu?

Dalam konteks ini, Islam telah mengariskan lima kepentingan yang wajib dijaga yang tidak boleh bertolak ansur untuk mengabaikannya, agar umat Islam mampu bertahan menghadapi segala cabaran.

Kepentingan tersebut mengikut keutamaan ialah :

1. Menjaga agama.

Umat Islam wajib meletakkan kepentingan agama ditingkat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan agama hendaklah dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibenteras. Segala program yang merosakkan akidah hendaklah diberhentikan. Semua program pembangunan hendaklah mengambil kira kemuliaan agama Islam. Pemimpin yang menjaga agama agar menjadi seorang yang adil dan berintegriti yang tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral. Seorang tentera yang beragama akan sanggup mengadaikan nyawanya demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Orang yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya, dan tidak mustahil akan mengadaikan kepentingan negara demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya.

2. Menjaga nyawa.

Umat Islam wajib memelihara nyawa, tidak boleh membunuh diri sendiri atau orang lain dengan jalan yang tidak benar atau membiarkan nyawa terancam. Oleh itu Islam mengharamkan pertumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Islam juga mewajibkan mempertahankan negara dengan menyediakan segala sumber kekuatan untuk menangkis segala serangan musuh yang akan mengancam nyawa kita.

Undang-undang jalan raya; wajib dipatuthi walaupun ianya semata-mata ciptaan manusia kerana matlamatnya untuk memelihara nyawa. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan akan hilang.

Keselamatan pemakanan sesebuah negara juga wajib di jaga terutama makanan yang asas seperti beras, kerana ianya berkaitan dengan mati dan hidupnya umat.

Adalah menjadi fardhu kifayah kepada umat Islam untuk menghasilkan keperluan pemakanan yang mencukupi demi menjamin kebebasannya di arena antarabangsa. Seperti kata pujangga Arab; “Barang siapa yang memiliki makanan, maka dia memiliki kebebasannya”.

3. Menjaga akal

Umat Islam wajib menjaga akalnya yang dikurniakan oleh Allah swt, dari benda yang menghilangkan akalnya, adalah diharamkan samaada dadah mahupun arak. Islam mengharamkan arak dan dadah kerana ia melalaikan dan menghalang manusia dari menjalankan tanggungjawabnya. Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan positif. Kehilangan akal amat ditegah dalam Islam. Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan akal wajib dibenteras dengan segera. Hanya generasi yang berakal yang mempu mempertahankan kemerdekaan sesebuah negara.

4. Menjaga maruh dan keturunan

Keturunan wajib dipelihara, demi menjaga sistem susila dalam masyarakat Islam. Apabila keturunan telah rosak dengan sebab perzinaan. Demi menjaga keturunan, Islam mengharamkan zina dan segala unsur yang membawa kepadanya seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, menyebarkan gambar-gambar lucah dan sebagainya. Mereka yang menyebarkan gambar-gambar lucah dan mempromosikan pergaulan bebas perlu diambil tindakan kerana ia mencemarkan maruah bangsa dan agama. Mereka bukannya orang yang harus disanjung dan diagung-agungkan, selainnya ianya tidak berlandaskan pendekatan Islam dan falsafah pendidikan yang menjuruskan untuk melahirkan model insan yang seimbang dan cemerlang.

5. Menjaga harta

Sifat ingin memiliki harta adalah satu fitrah yang diiktiraf oleh Islam. Namun Islam meletakan garis panduan kepada pemilikan harta agar ia dimilik kecuali dengan sebab-sebab pemilikan yang sah disisi Islam seperti jual-beli, hadiah atau belian, pewarisan atau zakat dan wasiat. Pemilikian yang tidak sah adalah diharamkan seperti mencuri, rasuah, penipuan dan sebagainya kerana ianya adalah satu kezaliman yang akan mencetuskan permusuhan dan pergolakkan dalam masyarakat. Apabila berlaku pergolakkan maka negara akan kucar-kacir yang akhirnya akan memberi peluang kepada musuh-musuh Islam merampas kemerdekaan kita.

Krisis pemakanan yang melanda dunia adalah contoh yang terbaik apabila perniaga menyorok barang kerana ingin mengaut keuntungan haram. Adalah tidak mustahil masyarakat sesebuah negara boleh haru-hara kerana krisis yang sebegini, namun yang pentingnya ia mengancam kestabilan dan kedaulatan sesebuah negara merdeka.

Ikhwanul Muslimin,

Kebetulkan sambutan merdekaan kita pada tahun ini berlaku pada bulan Ramadhan dan di hari-hari terakhir bulan Ramadhan Al-Mubarak. Ambillah kesempatan dari keistemewaan Ramadhan ini dan janganlah membiarkan diri dan anak-anak kita hanyut dalam suasana menyambut hari kemerdekaan dalam keadaan yang laro dan tidak berfaedah.

Ikhwanul Muslimin,

Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian ialah kita hendaklah bersungguh melaksanakan amal maaruf nahi mungkar dalam masyarakat. Semua lapisan masyarakat hendaklah bekerjasama dalam mempromosikan maaruf dan dalam masa yang sama mencegah dan menolak sebarang kemungkaran.

Persoalannya, apa yang berlaku sekarang ialah terdapat satu pihak yang menjalankan kebaikan namum disatu pihak yang lain pula mempromosikan kemungkaran. Disatu pihak mengalakkan budi bahasa dan sopan santun tetapi disatu pihak lain pula mengiklan budaya kurang ajar dan tidak bermoral.

Jadi oleh yang demikian kemanakah sebenarnya pengisian kemerdekaan kita?

Apakah sebenarnya bentuk budaya bangsa yang ingin kita bina?

Apabila berlaku kecelaruan seperti ini, semua pihak masing-masing menunding jari ke pihak-pihak yang lain. Ada yang menuduh ulama dan masjid tidak berperanan, ada yang menuduh sistem pendidikan yang telah gagal, ada yang menuduh pihak berkuasa yang tidak berperanan dan lain-lain lagi termasuk ibu-bapa yang membiarkan anak-anak mereka.

Sebenarnya semua kita bertanggungjawab kearah membentuk kemuliaan dan mempertahankan kemerdekaan bahkan ia selaras dengan falsafah yang ingin dibentuk melalui madrasah Ramadhan yang sedang kita lalui ini.

Mudah-mudahan Allah swt menerima puasa Ramadhan kita dengan penerimaan yang sesungguhnya. Semoga Allah memberikan keampunan-Nya kepada kita semua dalam meneruskan hidup ini dengan penuh keberkatan sempurna Ramadhan Al-Mubarak ini.

Terbitan Biro Informasi & ICT Masjid Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian

Friday, August 20, 2010

Haram Bermain Mercun

Kesan Negatif Bermain Mercun

Mercun adalah bahan utama digunakan jika terdapat perayaan terutama perayaan Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Dan sering kali kita terdengar dan membaca kemalangan-kemalangan yang berlaku disebabkan mercun pada anak-anak Melayu kita. Baru sahaja seminggu berpuasa, mercun sudah berbunyi di merata tempat, di taman perumahan dan juga di sekitar masjid dan surau. Anak-anak merasakan masuk saja ramadhan, sudah layak bermain mercun, tidak perlu tunggu Hari Raya semacam kaum Cina yang hanya bermain di hari Tahun Baru mereka.

Amat kehadapan anak-anak Melayu kita rupanya dalam perkara yang negative, seperti juga perkara negatif yang lain. Di masjid mereka bermain kerana mungkin datang diatas alasan anak-anak pergi berteraweh konon untuk menjinakkan anak-anak dengan masjid. Tetapi sebaliknya berlaku, kerana kurang disiplin dan pengawasan, anak-anak ini menganggu ketenteraman awam dengan bunyi mercun yg diletupkan di kawasan masjid. Sudah sememangnya kurang ajar dan ianya berlaku di setiap tahun. Bukan pahala yang dicari, dosa pula yang mendatang kepada anak dan ibu-bapa yang tidak mengawasi anak-anak mereka.

Akta Bahan Letupan 1957. Seksyen 4 (2) memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki dan mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.Tetapi yang menjadi masalah tiada pengawasan, penguatkuasaan dan tindakan yang agresif.
Dari pandangan Islam pula hukumnya semua perkara yang membawa mudarat kepada diri dan orang lain adalah diharamkan di sisi Islam.

Oleh Nor Adila Ali KOTA BAHARU, 9 Sept (Bernama) -- Bagi kebanyakan Muslim, kedatangan Ramadan begitu ditunggu-tunggu kerana inilah ketika buat mereka mempertingkat amal ibadat dengan tujuan mendapat pahala dan keberkatan berlipat ganda. Bagi peniaga pula, Ramadan bulan menambah rezeki kerana apa sahaja juadah yang disediakan untuk berbuka selalunya laris dijual. Namun, bagi kanak-kanak dan sesetengah remaja bulan ini ditunggu penuh keterujaan kerana inilah masa untuk berseronok bermain mercun dan bunga api. Bagi mereka, Ramadan lebih bermakna jika disambut dengan percikan bunga api, asap dan bunyi mercun setiap kali malam menjelma. Meskipun tersiar banyak berita mengenai kanak-kanak cedera teruk dalam kemalangan bermain mercun, namun golongan ini tidak pernah serik menyertai keseronokan itu. Jika bekalan mercun kehabisan, remaja dan kanak-kanak ini menjadi lebih kreatif dengan mencipta pelbagai jenis mercun buatan sendiri. Batang paip, batang buluh, tin dan botol minuman menjadi bahan utama untuk menghasilkan pelbagai jenis mercun. Malangnya, kekreatifan mereka ini sering berakhir dengan kejadian yang tidak diingini seperti putus jari, terbakar muka, bahkan ada antaranya menjadi buta dan kudung. Di Kelantan, belumpun dua minggu Ramadan berlalu, sudah lima orang kanak-kanak cedera akibat mercun. Mereka dalam lingkungan usia 6 hingga 11 tahun. Kes terbaru berlaku kelmarin apabila seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di Kampung Tok Kaya, Jalan Sabak dekat sini cedera di tangan kanan dan muka akibat mahu menunjukkan kehebatan bermain mercun. Mangsa, Mohd cedera apabila mercun yang dinyalakannya tidak sempat dibaling dan meletup di tangannya dan kini dimasukkan wad. Beliau adalah mangsa kelima mainan mercun dilaporkan di negeri ini. Kebanyakan kanak-kanak mangsa mercun ini mengalami kecederaan di tangan dan jari dan ada antaranya yang hancur ibu jari dan hampir kudung. Persoalannya siapa harus dipersalahkan dalam masalah permainan mercun oleh kanak-kanak dan remaja ini yang mengundang pelbagai bahaya? Pengarah Kastam Kelantan, Azis Yacub mahukan ibu bapa turut bertanggungjawab. Beliau berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang didapati terbabit dalam bermain dan memiliki mercun. Untuk itu, pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas bagi menangani sebarang kes membabitkan sama ada bermain, menyimpan atau memiliki mercun. Sekiranya yang ditahan itu remaja atau kanak-kanak, ibu bapa mereka yang terpaksa bertanggungjawab, katanya. Dalam hubungan ini, ibu dan bapa perlu memantau anak-anak sekerap mungkin kerana walau sebaik manapun didikan yang diberi, mereka tetap kanak-kanak yang sering mudah terlupa. Apa lagi ketika mereka didorong keseronokan bermain bersama rakan sebaya. – BERNAMA

Diantara sebab-sebab yang menjadikan bermain mercun dalam kategori haram adalah :-

1) Mudarat Kepada Diri
Ini tidak perlu lagi dihuraikan, cukup laporan akhbar sebagai fakta

2) Mudarat Orang Lain
Ia seringkali mengganggu masyarakat awam sekeliling dengan kebisingan bunyinya (pencemaran bunyi), gangguan kepada jiran tetangga, anak kecil yang hendak tidur, selain bahaya letupan dan kebakaran yang mungkin berlaku.
Ada kalanya masuk saja pukul 12 malam, di masa itulah mereka meletupkan mercun yang kuat. Jelas tujuannya untuk menganggu orang yang hendak atau yang sedang tidur. Maka jelaslah ia termasuk dalam perkara atau perbuatan yang diharamkan.
Tahap pengharamannya lebih dahsyat apabila ia diletupkan di tepi-tepi surau dan masjid tatkala ahli jemaah sedang menunaikan solat. Ketika ibu-bapa sedang sibuk mengerjakan sembahyang terawih di masjid/surau, ketika inilah anak-anak kecil/remaja bermain mercun diluar pengetahuan mereka.
Demikian juga apabila ia ditujukan ke arah rumah atau individu tertentu dengan niat ingin berseronok-seronok. Ini boleh dianggap persamaan dengan cubaan membunuh, kerana letupan api itu boleh menyebabkan sebuah rumah terbakar atau seseorang kanak-kanak atau bayi hilang nyawanya.
Nabi s.a.w bersabda :
Ertinya : Barangsiapa yang membawa mudarat, maka Allah akan memudaratkan dirinya sendiri, sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah akan menyusahkannya pula"
(Riwayat Abu Daud, no 3635, 3/315; Ahmad, 3/453 ; Tirmidzi : Hasan Gharib ; Syeikh Syuaib, Hasan Bi Syawahidi)

Terdapat kisah yang disiar oleh akbar tahun lepas, bagaimana mercun masuk ke dalam buaian seorang bayi. Juga kisah ini dimana "Ibu Syafiq, Saripah, 43, berkata, anaknya sedang mengangkat kain di kawasan jemuran asrama kira-kira pukul 6 petang apabila sebiji mercun bola dilemparkan ke arahnya yang terkena di bahagian bawah mata kiri menyebabkan matanya cedera".

3) Pembaziran
Bermain mercun adalah satu pembaziran kerana wang yang digunakan dikira dibakar begitu sahaja untuk menikmati bunyi letupan yang tiada membawa satu faedahpun.
Allah s.w.t mengurniakan kita harta untuk dibelajakan sebaik mungkin dan bukan untuk mengikut hawa nafsu atas alasan kemeriahan lalu membeli pelbagai jenis mercun. Islam inginkan kita menjadi orang yang mampu mengurus kewangan dengan bijak di bulan Ramadhan. Malah inginkan kita memperbanyakkan sedekah terutama di akhir Ramadhan. Bukannya membeli mercun yang haram hukumnya.

Sebagai kesimpulan, ibu bapa yang membelikan mercun ini tidak terlepas dari dosa pada pandangan Islam. Mereka sepatutnya bersifat tegas dalam hal ini melarang sebarang penglibatan anak-anaknya terutamanya jika mereka terjebak dalam membuat mercun sendiri seperti mercun buluh dan lain-lain. Isu ini sangat jelas sekali.

Ertinya : Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya."
(Riwayat Ibn majah, 2/1122 ; Tirmidzi, Hadis Gharib ; Albani : Hasan Sohih)

Keterangan: Walaupun hadith ini menyebut bab arak, tetapi ia boleh merangkumi barang-barang haram yang lain berdasarkan kepada kaedah Qiyas dalam Islam.

Fakta-fakta lain:

Oleh itu, terdapat beberapa negara yang mengharamkan pembakaran mercun kerana beberapa sebab, antaranya pencemaran bunyi, risiko kecederaan serta risiko kebakaran.

Di Malaysia, pembakaran mercun kini diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991 akibat peningkatan kadar kecederaan di kalangan kanak-kanak semasa musim perayaan Hari Raya. Ironinya, kes kecederaan akibat bermain mercun terus meningkat saban tahun kerana kanak-kanak beralih kepada mercun buatan sendiri seperti meriam buluh sebagai alternatif kepada mercun komersial.

Di Singapura, larangan separa terhadap pembakaran mercun dikuatkuasakan pada Mac 1970 selepas satu kebakaran yang mengorbankan enam orang dan mencederakan 68 yang lain. Ini seterusnya membawa kepada pengharaman penuh pada Ogos 1972, selepas satu letupan yang membunuh dua orang serta serangan terhadap dua anggota polis yang cuba menghalang satu kumpulan orang ramai daripada membakar mercun pada Februari 1972. Walau bagaimanapun, pada tahun 2003, kerajaan membenarkan kembali mercun dibakar semasa musim perayaan. Pada tengah malam Tahun Baru Cina di Chinatown, mercun dibakar tetapi di bawah syarat-syarat kawalan yang dikenakan oleh Lembaga Pelancongan Singapura. Perayaan lain di mana mercun dibenarkan untuk dibakar ditentukan oleh Lembaga Pelancongan Singapura. Namun demikian, penjualan mercun secara komersial diharamkan sama sekali.

• Sudah menjadi satu kemestian setiap kali ada sambutan perayaan di negara ini, ia akan disertai dengan aktiviti membakar mercun dan bunga api. Tidak kira sama ada perayaan menyambut tahun baru, Tahun Baru Cina, Deepavali mahupun Aidilfitri, budaya bermain mercun seakan-akan tidak boleh dilupakan setiap kali datangnya perayaan. Mungkin bagi ramai orang, aktiviti membakar mercun dapat menambahkan lagi kemeriahan suasana perayaan, terutama bagi masyarakat Cina yang sudah menjadikannya sebagai tradisi setiap kali menyambut tahun baru dalam kalendar Cina.

• Fenomena itu sedikit sebanyak menular dalam masyarakat Melayu yang turut terbawa-bawa dengan kegiatan membakar mercun dan bunga api ketika menyambut Aidilfitri. Yang berlainannya, masyarakat Melayu, awal ramadhan lagi sudah mula bermain mercun, tidak kira di mana saja termasuk masjid dan surau.

Inilah kecelaruan budaya masyarakat Melayu yang mudah meniru budaya bangsa lain. Kemeriahan perayaan bukan terletak pada mercun dan bunga api. Kemeriahan terletak kepada jiwa dan amalan-amalan positif yang digalakkan agama sempena menyambut hari raya iaitu ziarah-menziarahi. Bukannya pada keriuhan mendengar letupan mercun seperti yang dianggap sesetengah orang. Tidak perlu melakukan perkara berbahaya seperti membakar mercun.

Inilah salah satu lagi nilai songsang masyarakat kita yang perlu diperbaiki. Disebabkan itu, setiap kali musim perayaan, riuh-rendahlah kawasan perumahan di bandar dan di kampung dengan dentuman mercun yang dimainkan anak-anak muda dan tidak ketinggalan orang dewasa, termasuk golongan bapa yang sepatutnya menasihatkan anak-anak mereka jangan membakar mercun kerana ia perbuatan membazir.

Nukilan dari bahan internet, zaharuddin.net dan selainnya. Mohon diizinkan demi kebaikan ummah.
Was’salam mualaikum wrt. Waallah A’lam.

Friday, July 23, 2010

* Peranan Dan Tanggungjawab Pemimpin Dalam Islam

Khutbah Jumaat - 4 Sya'aban 1431 Hijrah. Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.

Peranan Dan Tanggungjawab Pemimpin Dalam Islam

Firman Allah swt, Al Anfaal: 27. Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah swt dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan keatas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Marilah kita bertakwa kepada Allah swt di mana sahaja kita berada dengan meningkatkan rasa takut kita kepada-Nya, semoga kita sentiasa dibawah jagaan-Nya.

Ikhwan muslimin, hari ini ramai orang yang ghairah untuk menjadi pemimpin tanpa melihat dan mengukur kelayakan diri sendiri, sedangkan jawatan pemimpin itu satu amanah dan tanggungjawab. Mereka meminta menjadi pemimpin dalam berbagai jawatan dalam sektor awam atau swasta, sehingga meminta menjadi wakil rakyat dan menteri. Demi untuk memperolehi sesuatu jawatan ada kemungkinan mereka akan melakukan apa saja dan bersedia menghalalkan cara walaupun dengan melakukan jenayah dan perkara-perkara yang ditegah oleh syarak seperti rasuah, mencaci, mengumpat, menipu dan sebagainya.

Memimpin adalah amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Amanah dan tanggungjawab ini tidak akan terlaksana tanpa adanya pemimpin yang berwibawa memeliki ciri-ciri dan sifat-sifat yang tertentu, sesuai dengan tugas dan tanggungjawabnya, mengajak manusia mengabdikan diri sesungguhnya kepada Allah swt, melalui kerja-kerja memakmurkan bumi Allah swt, melakukan islah, menegakkan kebenaran, mengujudkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat dan negara.

Berdasarkan amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin, maka orang yang lemah dan tidak memiliki kelayakan tidak boleh menjadi pemimpin. Oleh itu melantik seorang pemimpin atau pegawai yang tidak memiliki kelayakan kepada sesuatu jawatan sedangkan masih ada orang yang lebih layak kepada jawatan tersebut, merupakan suatu pengkhianatan besar kepada Allah swt dan Rasulullah saw. Dan sangat bertentangan dengan ajaran syariat Islam kerana akibat dari perbuatan itu, masyarakat dan negara akan musnah dan tergadai serta diangkat keberkatannya.

Sabda Rasulullulah saw; ‘Apabila disandarkan pekerjaan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat (saat kehancuran)’.

Sabda Rasulullulah saw lagi; ‘Barang siapa melantik seseorang sebagai pemimpin/pegawai di dalam sebuah kumpulannya sedangkan masih ada di kalangan mereka orang yang lebih layak, orang yang lebih disukai Allah swt daripadanya maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah swt dan Rasul-Nya dan mengkhianati orang-orang yang beriman’.

Demi menjaga kepentingan umat dan negara, demi menjaga pengaruh keduniaan agar tidak meresab masuk ke dalam jiwa pemimpin, Rasulullah saw melarang meminta sesuatu jawatan di dalam pemerintahan, apa lagi merebut tanpa kelayakan dan persedi aan yang mencukupi. Sabda Rasulullulah saw yang bermaksud; ’Kami demi Allah, tidak akan melantik ke jawatan pemerintahan ini, orang yang memohonnya dan juga orang yang sangat-sangat berkeinginan untuk mendapatkannya’.

Sifat loba dan sifat tamak dan menginginkan jawatan akan mendorong seseorang untuk berbuat zalim dan dosa demi untuk mendapatkannya. Apabila sudah dapat berjawatan maka akan dipergunakannya untuk kepentingan-kepentin gan dirinya. Adapun orang yang diberikan jawatan berdasarkan kelayakkan, sedangkan ia tidak mengingin kan jawatan itu, maka Allah

swt akan memberikan pertolongan dan taufik kepadanya di dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin yang merupakan amanah daripada Allah swt.

Orang yang menginginkan jawatan kerana mengejar pangkat, mencari pengaruh, mengumpul harta kekayaan, kemewahan duniawi semata-mata, sangat terdedah kepada melakukan sebarang penyelewengan, pengkhianatan dan penipuan semasa menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Kepada mereka ini diingatkan bahawa pengkhianatan dan penipuan yang dilakukan oleh seorang pemimpin sangat besar kesan dan akibatnya ke atas diri, keluarga, rakyat dan negara. Di atas perbuatannya itu ia akan menanggung kesusahan hidup di dunia dan di akhirat dan dia akan menyesal kerana disiksa oleh Allah swt di dalam Neraka jahanam nanti.

Sabda Rasulullulah saw yang bermaksud; ‘Tiadalah seorang hamba Allah swt yang diberi tugas pemimpin untuk memimpin rakyat kemudian dia mati di hari kematiannya dalam keadaan dia menipu rakyatnya melainkan Allah swt mengharamkannya dari memasuki syurga’. (Hadis Muttafaq’alaih)

Seorang pemimpin hendaklah menjalankan tugas dengan jujur, tidak boleh melarikan diri daripada menjalankan tanggungjawabnya. Kalau dia seorang pemimpin rakyat, maka dia harus turun ke medan menemui rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka. Rakyat hendaklah dilayani dengan adil dan saksama.

Sabda Rasulullulah saw yang bermaksud; ’Sesiapa yang diberi Allah swt kuasa untuk menguruskan sesuatu urusan kaum Muslimin, tetapi dia berlindung tidak menunaikan keperluan mereka atau menghiraukan kemiskinan mereka, nescaya Allah swt berlindung Diri tidak melayani hajat dan permintaannya’. (Hadis Sahih)

Ikhwan muslimin, sudah menjadi hak masyarakat untuk dididik dan dibantu oleh pemimpin begitu juga menasihati dan menegur mana-mana pemimpin yang terlanjur dengan cara berhikmah kerana Islam adalah agama ‘al-nasihah’; nasihah kerana Allah, berpandukan kitabnya dan Rasulnya untuk memimpin kaum Muslimin dan sekalian rakyatnya. Masyarakat dan rakyat hendaklah mentaati pemimpin dalam perkara-perkara kebaikan dan kebajikan dan hendaklah bersedia membantu dalam melaksanakan program-program pembangunan dan kebajikan.

Penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin adalah merupakan satu kezaliman yang sangat besar bahayanya, demikian juga menyalahgunaan kekayaan negara dan harta rakyat. Pemimpin atau pegawai yang terlibat dengan mengurus harta kerajaan tidak boleh menggunakan harta kerajaan atau makan harta kerajaan dengan cara yang tidak benar dari segi syariat Islam dan melanggar peraturan. Apapun harta yang di sampaikan kepadanya, hendaklah ia menyerahkan kepada perbendaharaan atau Baitulmal milik kaum muslimin, jangan ada sedikitpun yang dijadikan milik peribadi.

Rasulullulah saw bersabda yang bermaksud; ‘Barang siapa di antara kamu yang kami tugaskan untuk memimpin, lalu dia menyembunyikan harta walaupun sebesar jarum atau lebih kecil dari itu, maka pada hari kiamat nanti dia akan datang membawanya sebagai seorang pengkhianat’.

Seorang pemimpin hendaklah sentiasa peka dan berwaspada terhadap pelbagai manusia yang keluar masuk kepadanya dan yang ada di sekelilingnya, lantaran itu hendaklah ia mengambil penasihat-penasihat dari kalangan orang-orang yang baik-baik, ikhlas lagi dipercayai dari kalangan ulamak dan orang yang bijak pandai.

Rasulullulah saw pernah mengingatkan kita dengan sabdanya, bermaksud; ‘Tidak ada seorang nabi diutuskan Allah dan tidak ada pula seorang pemimpin yang diangkat kecuali mereka mempunyai dua jenis teman rapat; teman rapat yang menyuruhnya dan yang mendorongnya berbuat kebaikan dan selalu mendorongnya untuk berbuat baik sedangkan teman yang satu lagi menyuruhnya membuat kejahatan serta mendorongnya berbuat kejahatan. Orang yang terpelihara sebenarnya ialah orang yang mendapat jagaan dan pemeliharaan daripada Allah swt.’ (Sahih Bukhari)

Jalan yang selamat ialah sentiasa berhati-hati, tidak terburu-buru membuat keputusan atau tindakan tanpa bermesyuarah terlebih dahulu. Seorang pemimpin hendaklah bersikap jujur dan mesra dengan masyarakat atau orang bawahannya serta memberi layanan yang adil kepada semua tanpa memilih kasih.

Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang disayangi oleh rakyat atau orang bawahannya. Oleh itu seorang pemimpin hendaklah memupuk kesetiaan masyarakat kepada kepimpinannya dan jangan melakukan sesuatu yang melemahkan kepercayaan mereka dan kesetiaan mereka. Ingatlah sabda Rasulullulah saw; kepada Abu Dzar ra ketika ia meminta dilantik menjadi pegawai Rasulullulah saw, Rasulullulah saw menepuk bahunya serta bersabda; ‘Hai Abu Dzar kamu seorang yang lemah sedangkan jawatan itu adalah satu amanah (tanggungjawab) yang kelak di hari kiamat menjadi hina dan menyesal kecuali orang yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipannya’.

Was’salam mualaikum wrt. Wallah A’lam.