Wednesday, September 1, 2010

* Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan

Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan

Dan ingatilah Firman Allah dalam surah Ibrahim 14.7. “dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".

Ikhwanul Muslimin, pada hari Jumaat di bulan Ramadhan yang diberkati ini, saya berpesan pada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita sama-sama meningkatkan takwa kita kepada Allah swt dengan ketakwaan yang sebenar-benarnya.

Dikesempatan kita memperingati kemerdekaan negara kali ini, khutbah ini ingin mengajak para-jemaah mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar nikmat ini akan berkekalan dengan pengisian-pengisian yang diredhai oleh Allah swt.

Sebenarnya, inilah juga matlamat dan intipati berpuasa dan Ramadhan, iaitu untuk melahirkan manusia yang tahu bersyukur kepada Allah swt.

Imam Al-Ghazali mengariskan bahawa bagi mensyukuri nikmat Allah swt itu perlu ada tiga perkara berikut:

1. Hendaklah mengiktiraf bahawa nikmat itu datangnya dari Allah swt, walaupun pada zahirnya ia datang melalui berbagai perkara dan sumber.

2. Hendaklah ia tidak mengsia-siakan nikmat tersebut dengan mengabaikannya.

3. Hendaklah ia menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang diredhai oleh Allah swt.

Ikhwanul Muslimin,

Sekiranya kita meninggalkan salah-satu daripada tiga syarat bersyukur yang telah diterangkan oleh Imam Ghazali seperti diatas, maka kita akan menjadi orang yang kufur terhadap nikmat Allah swt dan akibatnya Allah swt akan menggurangkan atau mengambil balik nikmat yang telah dikurniakannya kepada kita. Itulah juga yang telah disebutkan oleh Allah swt dalam firmannya dalam ayat diatas, azab yang dashyat.

Oleh itu sekiranya kita kufur dengan nikmat kemerdekaan, maka Allah swt akan menarik semula erti kebebasan dan keamanan. Akibatnya kehormatan negara akan dihina, nyawa kita akan terancam, akal kita akan dipermain-mainkan, maruah dan kehormatan diri serta keturunan akan tercemar, seterusnya harta akan diceroboh dengan sewenang-wenangnya seperti apa yang telah berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin, Iraq, Afghanistan dan Somalia dan sebagainya.

Ikhwanul Muslimin,

Sekiranya kita ingin mengekalkan kemerdekaan, maka hendaklah kita mengisikan kemerdekaan yang kita kecapi dengan program-program yang di redhai oleh Allah swt selaras dengan yang konsep syukur sepertimana yang telah diterangkan oleh Imam Ghazali tadi.

Persoalannya, adakah kita telah mentakbir dan menguruskan diri kita dengan ketaatan kepada Allah swt?

Adakah kita mentakbir dan menguruskan keluarga kita dengan kefahaman agama yang syumul?

Kita perlu meneliti dan meningkatkan hubungan diri kita dengan Allah swt dengan melakukan muhasabah dan seterusnya kembali kepada jalan yang diredhai Allah swt.

Ikhwanul Muslimin,

Ketahuilah bahawasanya musuh-musuh Islam, memang sentiasa merancang dan mengaturkan serangan-serangan, samaada ia berbentuk serangan pemikiran atau serangan berbentuk fisikal demi untuk merampas kemerdekaan yang kita kecapi. Namun, persoalannya, adakah kita mempunyai pertahanan yang ampuh dan kuat dalam menghadapi segala cabaran itu?

Dalam konteks ini, Islam telah mengariskan lima kepentingan yang wajib dijaga yang tidak boleh bertolak ansur untuk mengabaikannya, agar umat Islam mampu bertahan menghadapi segala cabaran.

Kepentingan tersebut mengikut keutamaan ialah :

1. Menjaga agama.

Umat Islam wajib meletakkan kepentingan agama ditingkat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan agama hendaklah dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibenteras. Segala program yang merosakkan akidah hendaklah diberhentikan. Semua program pembangunan hendaklah mengambil kira kemuliaan agama Islam. Pemimpin yang menjaga agama agar menjadi seorang yang adil dan berintegriti yang tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral. Seorang tentera yang beragama akan sanggup mengadaikan nyawanya demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Orang yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya, dan tidak mustahil akan mengadaikan kepentingan negara demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya.

2. Menjaga nyawa.

Umat Islam wajib memelihara nyawa, tidak boleh membunuh diri sendiri atau orang lain dengan jalan yang tidak benar atau membiarkan nyawa terancam. Oleh itu Islam mengharamkan pertumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Islam juga mewajibkan mempertahankan negara dengan menyediakan segala sumber kekuatan untuk menangkis segala serangan musuh yang akan mengancam nyawa kita.

Undang-undang jalan raya; wajib dipatuthi walaupun ianya semata-mata ciptaan manusia kerana matlamatnya untuk memelihara nyawa. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan akan hilang.

Keselamatan pemakanan sesebuah negara juga wajib di jaga terutama makanan yang asas seperti beras, kerana ianya berkaitan dengan mati dan hidupnya umat.

Adalah menjadi fardhu kifayah kepada umat Islam untuk menghasilkan keperluan pemakanan yang mencukupi demi menjamin kebebasannya di arena antarabangsa. Seperti kata pujangga Arab; “Barang siapa yang memiliki makanan, maka dia memiliki kebebasannya”.

3. Menjaga akal

Umat Islam wajib menjaga akalnya yang dikurniakan oleh Allah swt, dari benda yang menghilangkan akalnya, adalah diharamkan samaada dadah mahupun arak. Islam mengharamkan arak dan dadah kerana ia melalaikan dan menghalang manusia dari menjalankan tanggungjawabnya. Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan positif. Kehilangan akal amat ditegah dalam Islam. Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan akal wajib dibenteras dengan segera. Hanya generasi yang berakal yang mempu mempertahankan kemerdekaan sesebuah negara.

4. Menjaga maruh dan keturunan

Keturunan wajib dipelihara, demi menjaga sistem susila dalam masyarakat Islam. Apabila keturunan telah rosak dengan sebab perzinaan. Demi menjaga keturunan, Islam mengharamkan zina dan segala unsur yang membawa kepadanya seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, menyebarkan gambar-gambar lucah dan sebagainya. Mereka yang menyebarkan gambar-gambar lucah dan mempromosikan pergaulan bebas perlu diambil tindakan kerana ia mencemarkan maruah bangsa dan agama. Mereka bukannya orang yang harus disanjung dan diagung-agungkan, selainnya ianya tidak berlandaskan pendekatan Islam dan falsafah pendidikan yang menjuruskan untuk melahirkan model insan yang seimbang dan cemerlang.

5. Menjaga harta

Sifat ingin memiliki harta adalah satu fitrah yang diiktiraf oleh Islam. Namun Islam meletakan garis panduan kepada pemilikan harta agar ia dimilik kecuali dengan sebab-sebab pemilikan yang sah disisi Islam seperti jual-beli, hadiah atau belian, pewarisan atau zakat dan wasiat. Pemilikian yang tidak sah adalah diharamkan seperti mencuri, rasuah, penipuan dan sebagainya kerana ianya adalah satu kezaliman yang akan mencetuskan permusuhan dan pergolakkan dalam masyarakat. Apabila berlaku pergolakkan maka negara akan kucar-kacir yang akhirnya akan memberi peluang kepada musuh-musuh Islam merampas kemerdekaan kita.

Krisis pemakanan yang melanda dunia adalah contoh yang terbaik apabila perniaga menyorok barang kerana ingin mengaut keuntungan haram. Adalah tidak mustahil masyarakat sesebuah negara boleh haru-hara kerana krisis yang sebegini, namun yang pentingnya ia mengancam kestabilan dan kedaulatan sesebuah negara merdeka.

Ikhwanul Muslimin,

Kebetulkan sambutan merdekaan kita pada tahun ini berlaku pada bulan Ramadhan dan di hari-hari terakhir bulan Ramadhan Al-Mubarak. Ambillah kesempatan dari keistemewaan Ramadhan ini dan janganlah membiarkan diri dan anak-anak kita hanyut dalam suasana menyambut hari kemerdekaan dalam keadaan yang laro dan tidak berfaedah.

Ikhwanul Muslimin,

Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian ialah kita hendaklah bersungguh melaksanakan amal maaruf nahi mungkar dalam masyarakat. Semua lapisan masyarakat hendaklah bekerjasama dalam mempromosikan maaruf dan dalam masa yang sama mencegah dan menolak sebarang kemungkaran.

Persoalannya, apa yang berlaku sekarang ialah terdapat satu pihak yang menjalankan kebaikan namum disatu pihak yang lain pula mempromosikan kemungkaran. Disatu pihak mengalakkan budi bahasa dan sopan santun tetapi disatu pihak lain pula mengiklan budaya kurang ajar dan tidak bermoral.

Jadi oleh yang demikian kemanakah sebenarnya pengisian kemerdekaan kita?

Apakah sebenarnya bentuk budaya bangsa yang ingin kita bina?

Apabila berlaku kecelaruan seperti ini, semua pihak masing-masing menunding jari ke pihak-pihak yang lain. Ada yang menuduh ulama dan masjid tidak berperanan, ada yang menuduh sistem pendidikan yang telah gagal, ada yang menuduh pihak berkuasa yang tidak berperanan dan lain-lain lagi termasuk ibu-bapa yang membiarkan anak-anak mereka.

Sebenarnya semua kita bertanggungjawab kearah membentuk kemuliaan dan mempertahankan kemerdekaan bahkan ia selaras dengan falsafah yang ingin dibentuk melalui madrasah Ramadhan yang sedang kita lalui ini.

Mudah-mudahan Allah swt menerima puasa Ramadhan kita dengan penerimaan yang sesungguhnya. Semoga Allah memberikan keampunan-Nya kepada kita semua dalam meneruskan hidup ini dengan penuh keberkatan sempurna Ramadhan Al-Mubarak ini.

Terbitan Biro Informasi & ICT Masjid Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian